Unsur
terakhir dalam FPK ialah rakyat Malaysia
yang berketerampilan. Rakyat yang berketerampilan mempunyai kemahiran yang
sesuai dalam pelaksanaan tugasnya dan dapat melaksanakan tugasnya dengan cekap
dan sempurna. Malah, dia seorang yang berilmu pengetahuan dan berkelayakan yang
sesuai dengan tugas yang dipertanggungjawabkan. Sifat kepimpinan dapat disemai
sejak kecil melalui penglibatan pelajar dalam pelbagai acara. KPM amat
menitikberatkan keaktifan pelajar dalam kokurikulum kerana adanya syarat
penglibatan dalam kokurikulum semasa menawarkan biasiswa atau melanjutkan
pelajaran ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Guru boleh banyak memberi
peluang dan bimbingan untuk pelajar menganjurkan aktiviti seperti pertandingan
dalam sekolah. Jawatan di sekolah seperti pengawas, pengawas pusat sumber,
ketua kelas dan penolong ketua kelas juga dapat memupuk nilai kepimpinan dan
bertanggungjawab. Kem Bina Insan dan Kem Integrasi juga bertujuan untuk
melahirkan lebih ramai pelajar yang berkaliber dan berdisiplin. Di samping itu,
Program Bina Insan Guru (BIG) dan ‘Program School Based Experience’ (SBE) di
peringkat pengajian tinggi dapat melatih para guru dengan matlamat untuk
mendidik generasi muda dengan lebih efisen. Guru harus memberi suntikan
semangat dan menggalakkan pelajar menyertai pelbagai aktiviti seperti
perkhemahan atau mengadakan kursus kepimpinan di sekolah.
Wednesday, 26 March 2014
Insan yang seimbang dan harmonis
Unsur insan
yang seimbang dan harmonis merupakan unsur keempat dalam FPK. Menurut En.
Mok Soon Sang, definisi insan yang seimbang dan harmonis ialah insan yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
mempunyai kepercayaan dan keyakinan yang teguh kepada Tuhan, mempunyai fikiran
dan jiwa yang tenteram serta mempunyai tubuh badan yang sihat dan cergas.
Beliau juga menyebut tentang kepentingan perancangan pengajaran oleh guru di
mana Bahan Bantuan Belajar (BBB) dan Bahan Bantu Mengajar (BBM) memainkan peranan
dalam pengajaran. Guru boleh menyediakan kertas dan pen warna untuk pelajar
melukis ‘i–THINK map’ atau peta pemikiran dalam pelbagai corak. Program ini
dapat merangsangkan pemikiran pelajar agar dapat menggambarkan topik–topik
pembelajaran secara keseluruhan. Penggunaan internet pula dipertingkatkan
dengan adanya 1BestariNet. 1BestariNet adalah projek yang
diinisiatifkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan dilaksanakan
dengan kerjasama YTL Communications. Di bawah projek ini, sebanyak 10,000 buah
sekolah rendah dan menengah di Malaysia akan dilengkapkan dengan akses internet
berkelajuan tinggi 4G dan platform pembelajaran maya yang menyediakan sambungan
Internet berkelajuan tinggi serta akses kepada Penyelesaian Pembelajaran
Bersepadu. Virtual
Learning Environment (Frog VLE) ataupun Persekitaran Pembelajaran Maya menjadi
saluran pembelajaran, pengajaran dan pentadbiran di mana guru, pelajar dan ibu
bapa boleh berinteraksi untuk meningkatkan prestasi pelajar. Melalui Laman Komuniti Frog, guru-guru boleh mendapatkan idea-idea baru dan
mencari kumpulan berdasarkan subjek yang diminati, atau membuat kumpulan
sendiri, menjemput guru-guru lain untuk menyertai kumpulan, blog, menghantar
mesej dan terlibat dalam forum. Ibu bapa akan diberi ID Yes 1BestariNet untuk
mengakses Dashboard ibu bapa dalam Frog VLE di mana mereka boleh mengikuti
aktiviti anak-anak mereka di sekolah, mengakses laporan PIBG, acara sekolah,
butiran perhubungan sekolah serta memuat turun borang-borang penting dan
dokumen. Di samping itu, para pelajar boleh bersambung dengan rakan sebaya serta berkongsi idea dan
menyatakannya di dalam The Voice, satu bahagian dalam The Pond yang memberi
ruang untuk para pelajar mengemukakan pendapat mereka.
The Pond adalah portal pelajar yang boleh diakses melalui Frog VLE Selain pendidikan dalam kelas, dalam KSSR, aktiviti unit beruniform dan sukan telah
diwajibkan untuk murid Tahun Empat hingga Enam dan pelajar Tingkatan Satu
hingga Lima. Dengan yang sedemikian, guru boleh mengambil kesempatan untuk
menerapkan nilai seperti berdikari, kasih sayang dan bertanggungjawab kepada
pelajar melalui aktiviti kokurikulum dan seterusnya melahirkan pelajar yang
seimbang.
Perkembangan potensi secara menyeluruh dan bersepadu
Unsur
seterusnya dalam Falsafah ini ialah perkembangan
potensi secara menyeluruh dan bersepadu. Untuk melahirkan sebuah negara
yang maju dan kurang masalah sosial, generasi muda patut diberi perhatian dan
pendidikan dari segi pengetahuan, moral dan jasmani. Oleh itu , Kurikulum Baru
Sekolah Rendah (KBSR) telah dikeluarkan pada tahun 1983 dan digantikan dengan
Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) pada tahun 1993. Pada tahun 2011,
Kementerian Palajaran telah melancarkan satu kurikulum sekolah yang baru iaitu
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) untuk murid Tahun Satu dan Dua
manakala KBSR masih digunakan untuk Tahun Tiga hingga Tahun Enam. Dari 3M dalam
KBSR, KSSR mempunyai 4M iaitu Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul. Selain
menitikberatkan pemikiran secara kreatif, KSSR juga menumpukan kepada inovasi
dan keusahawanan. Guru sebagai pendidik akan mengajar subjek yang mampu
membantu mengembangkan potensi seseorang pelajar itu seperti Bahasa Malaysia,
Bahasa Inggeris dan Matematik untuk tujuan 4M, manakala Pendidikan Islam dan
Moral untuk kerohanian pelajar. Malah, ilmu teknologi dan maklumat juga
disebarkan di sekolah melalui kelas komputer. Menurut En. Yahya Don, pengarang
‘Kepimpinan Pendidikan di Malaysia’, guru perlu menjadi penggerak utama di
dalam kelas di mana guru bersedia menggunakan teknologi dan menjadi model
kepada pelajar. Di era teknologi ini, jika pelajar disediakan dengan
pengetahuan komputer, mereka boleh menceburi bidang ini pada masa depan dan
lebih tinggi peluang pekerjaannya. Melalui mata pelajaran Kemahiran Hidup pula,
unsur keusahawanan telah diajar manakala mata pelajaran Prinsip Perakaunan
mengajar pelajar untuk membuat buku kiraan. Gabungan ilmu komputer dengan otak
berniaga mampu melahirkan generasi yang nescaya dapat membawa negara tercinta
ke peringkat lagi tinggi.
Perkembangan potensi individu
Unsur kedua
merupakan perkembangan potensi individu.
Dalam unsur ini pula kita boleh membahagikan kepada beberapa aspek iaitu aspek
intelek, rohani, emosi dan jasmani. Apabila kita bincang tentang potensi, hal
ini boleh dimaksudkan dengan kemampuan seseorang yang belum terserlah. Tugas
guru adalah untuk mencungkil dan membantu pelajar memaksimakan kemampuannya.
Menurut Howard Gardner, seorang pensyarah di Universiti Harvard, Amerika
Syarikat, berpendapat bahawa setiap orang dikurniakan potensi yang berbeza
dalam fitrahnya. Jadi, guru tidak boleh
menggunakan satu set pengajaran untuk semua pelajar tetapi memahami cara
pembelajaran dan ciri–ciri pelajar terlebih dahulu. Dari aspek intelek, Falsafah Pendidikan
Kebangsaan menekankan ciri–ciri daya berfikir seseorang pelajar itu. Asasnya
merupakan kemahiran 3M yang amat dititikberatkan di sekolah rendah terutamanya.
3M dikenali sebagai Membaca, Menulis dan Mengira, dan strategi seterusnya yang
diselitkan dalam pendidikan oleh guru ialah Kemahiran Berfikir Secara Kritis
dan Kreatif (KBKK). Penyebatian KBKK boleh dilakukan oleh guru dengan merancang
pengajaran, memasukkan unsur KBKK ke dalam mata pelajaran agar bersepadu dengan
isi kandungan mata pelajaran tersebut. Peranan guru penting untuk merangsang
pemikiran pelajar supaya pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan dalam
kehidupan seharian. Kini guru digalakkan membanyakkan soalan Kemahiran Berfikir
Aras Tinggi (KBAT) semasa melaksanakan kurikulum di sekolah untuk melahirkan
generasi baru yang lebih inovatif dan bersifat terbuka dalam menerima dan
memberi pandangan. Seterusnya, bagi unsur jasmani, Perdana Menteri Malaysia,
Dato Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah melancarkan Dasar
Satu Murid Satu Sukan (1M1S) manakala guru merupakan minyak pelincir untuk
menjayakan dasar tersebut. Bayangkan sekiranya tiada guru yang bertungkus–lumus
memyemai semangat kesukanan dalam murid semasa subjek Pendidikan Jasmani dan
Kesihatan (PJK), dasar 1M1S mungkin tidak akan mencapai tahap setinggi mana
yang kita capai sekarang. Dalam pengajaran PJK, guru menyampaikan kepentingan
menjaga kesihatan tubuh badan dan memerhatikan prestasi murid untuk mencungkIl
bakat terpendam. Tambahan pula, guru mendidik aspek emosi dengan menyemai
perasaan kasih sayang dalam setiap insan. Perkembangan emosi yang sempurna
dapat mengawal tingkah laku seseorang, maka lahirnya negara yang aman. Unsur
rohani pula menitikberatkan nilai kepercayaan kepada Tuhan dan memupuk disiplin
kendiri. Di sekolah, pendidikan agama dan pendidikan moral adalah diwajibkan
demi kesedaran pelajar tentang kepentingan mempunyai akhlak yang mulia.
Pendidikan suatu usaha yang berterusan
Unsur pertama
ialah pendidikan suatu usaha berterusan.
Jikalau pendidikan hanya setakat beberapa tahun semasa di sekolah, dan tamat
pendidikannya setelah habis pengajian di sekolah, maka terbantutlah pengetahuan
seseorang itu. Walau bagaimanapun, konsep pendidikan bukan setakat di sekolah
tetapi merangkumi pembelajaran sendiri. Di sinilah mainnya peranan guru, selain
ibu bapa, untuk memupuk semangat minat membaca. Seperti pepetah ‘meluntur buluh
biarlah dari rebungnya’. Jikalau pelajar sudah mengetahui kebaikan membaca dan
menaruh minat dalam pembelajaran berdikari dari kecil lagi, pelajar akan
sentiasa menimba ilmu tanpa dipaksa oleh orang dan capailah matlamat falsafah
ini. Guru boleh berkongsi dengan pelajar tentang buku yang menarik dan sesuai
dibaca. Menurut En. Mok Soon Sang, pengarang ‘Ilmu Pendidikan Untuk KPLI’, guru
dan sekolah merupakan pengaruh paling penting dalam perkembangan pelajar. Pada
zaman sekolah terutamanya pra–sekolah dan sekolah rendah, guru merupakan idola
kepada murid, maka tidak hairanlah jika kita kata bahawa murid akan mengikut
jejak para guru. Guru boleh menyediakan satu sudut kecil dalam kelas dan
membawa beberapa buku, sama ada fiksyen atau bukan fiksyen, untuk berkongsi
dengan murid. Dengan ini, guru pun boleh menggalakkan murid membawa buku yang
pernah dibaca untuk berkongsi dengan rakan sekelasnya. Murid akan mendapat
kepuasan daripada pujian dari guru dan meningkatkan lagi pembacaan. Projek Nadi
Ilmu Amalan Membaca atau lebih dikenali sebagai Projek NILAM telah dilancarkan
sejak tahun 1999 di peringkat sekolah rendah dan menengah. Projek ini
mencatatkan aktiviti pembacaan murid dan pelajar, dan melibatkan bimbingan guru
dalam menjayakan projek ini. Guru memberi pendedahan kepada pelajar tentang
manfaat membaca dan menarik minat pelajar untuk membaca dan seterusnya
menjadikannya hobi. Selain itu, disebabkan pembangunan pesat teknologi, guru
boleh mengambil kesempatan ini untuk memasukkan usaha pendidikan dalam alam
teknologi. Sebagai contoh, Wikispaces merupakan satu laman web percuma yang
boleh digunakan oleh semua orang. Guru boleh mendaftar dan menjadikan
pelajarnya ahli dalam ‘kelas tanpa bilik’ itu. Jadi, pelajar tidak akan
tertinggal kerja rumahnya kerana guru boleh memuat naik bahan – bahan
pengajaran yang digunakan di sekolah untuk rujukan pelajar. Pelajar pun boleh
menumpukan lebih perhatian dalam kelas dan tidak perlu risau tertinggal
menyalin nota. Selain peringkat sekolah, guru juga boleh menerapkan unsur
pendidikan suatu usaha berterusan di peringkat pengajian tinggi. Seperti mana
yang telah dilaksanakan di beberapa Universiti terkemuka di Malaysia misalnya
Universiti of Malaya (UM), Multimedia University (MMU), dan Universiti Sains
Malaysia (USM), jarak bukan lagi halangan untuk belajar. Di samping itu, kaedah
pembelajaran ini juga memanfaatkan orang yang sudah bekerja dan ingin
melanjutkan pengajian, tetapi mungkin masa tidak begitu mengizinkan. Maka golongan
ini dapat mengakseskan bahan belajar malah video–video pensyarah mengajar. Hal
ini memang bertemakan pembelajaran seumur hidup.
Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Sesebuah
negara itu perlu mempunyai pemimpin yang berkaliber, tetapi bukan semata–mata
itu, peranan rakyatnya juga penting untuk melahirkan sebuah negara. Bak kata, ‘Bersatu teguh, bercerai roboh’.
Perpaduan rakyat itulah akar sebuah negara yang maju. Menurut Abdullah Sani
(1990), ahli parlimen Kuala Langat, Selangor, Dasar Pendidikan Kebangsaan
digubal sebagai garis panduan bagi mencapai matlamat yang dihasratkan oleh
negara terutamanya kesedaran ke arah perpaduan kaum. Maka, salah satu kaedah untuk
memupuk perpaduan rakyat adalah melalui pendidkan. Pada tahun 1988, Falsafah
Pendidikan Negara telah diperkenalkan demi mempunyai dasar pendidikan yang
sempurna dan mantap. Salah satu asas kepada Falsafah Pendidikan Negara ialah
Penyata Razak 1956. Penyata Razak 1956 merupakan cadangan–cadangan yang dibuat
oleh satu jawatan kuasa pelajaran yang dipengerusikan oleh Menteri Pelajaran
ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein. Dari sini, adalah amat ketara bahawa dari zaman dulu, pemimpin sudah
sedar tentang kepentingan wujudnya satu sistem pendidikan yang mantap bagi
melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu. Pada tahun 1996, Falsafah
Pendidikan Negara telah ditukar kepada Falsafah Pendidikan Kebangsaan kerana
terdapat beberapa penambahbaikan yang telah dilakukan. Falsafah Pendidikan
Kebangsaan adalah seperti berikut:
"Pendidikan di Malaysia adalah
suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara
menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari
segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan
kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan
berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap
keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara".
Terdapat lima
unsur penting yang terkandung dalam falsafah tersebut. Antaranya:
1)
Pendidikan
adalah suatu usaha yang berterusan
2)
Perkembangan
potensi individu
3)
Perkembangan
individu secara menyeluruh dan bersepadu
4)
Insan yang
seimbang dan harmonis
5)
Rakyat
Malaysia yang berketerampilan
Subscribe to:
Posts (Atom)