Wednesday, 26 March 2014

Pendidikan suatu usaha yang berterusan

Unsur pertama ialah pendidikan suatu usaha berterusan. Jikalau pendidikan hanya setakat beberapa tahun semasa di sekolah, dan tamat pendidikannya setelah habis pengajian di sekolah, maka terbantutlah pengetahuan seseorang itu. Walau bagaimanapun, konsep pendidikan bukan setakat di sekolah tetapi merangkumi pembelajaran sendiri. Di sinilah mainnya peranan guru, selain ibu bapa, untuk memupuk semangat minat membaca. Seperti pepetah ‘meluntur buluh biarlah dari rebungnya’. Jikalau pelajar sudah mengetahui kebaikan membaca dan menaruh minat dalam pembelajaran berdikari dari kecil lagi, pelajar akan sentiasa menimba ilmu tanpa dipaksa oleh orang dan capailah matlamat falsafah ini. Guru boleh berkongsi dengan pelajar tentang buku yang menarik dan sesuai dibaca. Menurut En. Mok Soon Sang, pengarang ‘Ilmu Pendidikan Untuk KPLI’, guru dan sekolah merupakan pengaruh paling penting dalam perkembangan pelajar. Pada zaman sekolah terutamanya pra–sekolah dan sekolah rendah, guru merupakan idola kepada murid, maka tidak hairanlah jika kita kata bahawa murid akan mengikut jejak para guru. Guru boleh menyediakan satu sudut kecil dalam kelas dan membawa beberapa buku, sama ada fiksyen atau bukan fiksyen, untuk berkongsi dengan murid. Dengan ini, guru pun boleh menggalakkan murid membawa buku yang pernah dibaca untuk berkongsi dengan rakan sekelasnya. Murid akan mendapat kepuasan daripada pujian dari guru dan meningkatkan lagi pembacaan. Projek Nadi Ilmu Amalan Membaca atau lebih dikenali sebagai Projek NILAM telah dilancarkan sejak tahun 1999 di peringkat sekolah rendah dan menengah. Projek ini mencatatkan aktiviti pembacaan murid dan pelajar, dan melibatkan bimbingan guru dalam menjayakan projek ini. Guru memberi pendedahan kepada pelajar tentang manfaat membaca dan menarik minat pelajar untuk membaca dan seterusnya menjadikannya hobi. Selain itu, disebabkan pembangunan pesat teknologi, guru boleh mengambil kesempatan ini untuk memasukkan usaha pendidikan dalam alam teknologi. Sebagai contoh, Wikispaces merupakan satu laman web percuma yang boleh digunakan oleh semua orang. Guru boleh mendaftar dan menjadikan pelajarnya ahli dalam ‘kelas tanpa bilik’ itu. Jadi, pelajar tidak akan tertinggal kerja rumahnya kerana guru boleh memuat naik bahan – bahan pengajaran yang digunakan di sekolah untuk rujukan pelajar. Pelajar pun boleh menumpukan lebih perhatian dalam kelas dan tidak perlu risau tertinggal menyalin nota. Selain peringkat sekolah, guru juga boleh menerapkan unsur pendidikan suatu usaha berterusan di peringkat pengajian tinggi. Seperti mana yang telah dilaksanakan di beberapa Universiti terkemuka di Malaysia misalnya Universiti of Malaya (UM), Multimedia University (MMU), dan Universiti Sains Malaysia (USM), jarak bukan lagi halangan untuk belajar. Di samping itu, kaedah pembelajaran ini juga memanfaatkan orang yang sudah bekerja dan ingin melanjutkan pengajian, tetapi mungkin masa tidak begitu mengizinkan. Maka golongan ini dapat mengakseskan bahan belajar malah video–video pensyarah mengajar. Hal ini memang bertemakan pembelajaran seumur hidup. 

No comments:

Post a Comment