Unsur kedua
merupakan perkembangan potensi individu.
Dalam unsur ini pula kita boleh membahagikan kepada beberapa aspek iaitu aspek
intelek, rohani, emosi dan jasmani. Apabila kita bincang tentang potensi, hal
ini boleh dimaksudkan dengan kemampuan seseorang yang belum terserlah. Tugas
guru adalah untuk mencungkil dan membantu pelajar memaksimakan kemampuannya.
Menurut Howard Gardner, seorang pensyarah di Universiti Harvard, Amerika
Syarikat, berpendapat bahawa setiap orang dikurniakan potensi yang berbeza
dalam fitrahnya. Jadi, guru tidak boleh
menggunakan satu set pengajaran untuk semua pelajar tetapi memahami cara
pembelajaran dan ciri–ciri pelajar terlebih dahulu. Dari aspek intelek, Falsafah Pendidikan
Kebangsaan menekankan ciri–ciri daya berfikir seseorang pelajar itu. Asasnya
merupakan kemahiran 3M yang amat dititikberatkan di sekolah rendah terutamanya.
3M dikenali sebagai Membaca, Menulis dan Mengira, dan strategi seterusnya yang
diselitkan dalam pendidikan oleh guru ialah Kemahiran Berfikir Secara Kritis
dan Kreatif (KBKK). Penyebatian KBKK boleh dilakukan oleh guru dengan merancang
pengajaran, memasukkan unsur KBKK ke dalam mata pelajaran agar bersepadu dengan
isi kandungan mata pelajaran tersebut. Peranan guru penting untuk merangsang
pemikiran pelajar supaya pelajar dapat mengaplikasikan pengetahuan dalam
kehidupan seharian. Kini guru digalakkan membanyakkan soalan Kemahiran Berfikir
Aras Tinggi (KBAT) semasa melaksanakan kurikulum di sekolah untuk melahirkan
generasi baru yang lebih inovatif dan bersifat terbuka dalam menerima dan
memberi pandangan. Seterusnya, bagi unsur jasmani, Perdana Menteri Malaysia,
Dato Sri Haji Mohammad Najib bin Tun Haji Abdul Razak telah melancarkan Dasar
Satu Murid Satu Sukan (1M1S) manakala guru merupakan minyak pelincir untuk
menjayakan dasar tersebut. Bayangkan sekiranya tiada guru yang bertungkus–lumus
memyemai semangat kesukanan dalam murid semasa subjek Pendidikan Jasmani dan
Kesihatan (PJK), dasar 1M1S mungkin tidak akan mencapai tahap setinggi mana
yang kita capai sekarang. Dalam pengajaran PJK, guru menyampaikan kepentingan
menjaga kesihatan tubuh badan dan memerhatikan prestasi murid untuk mencungkIl
bakat terpendam. Tambahan pula, guru mendidik aspek emosi dengan menyemai
perasaan kasih sayang dalam setiap insan. Perkembangan emosi yang sempurna
dapat mengawal tingkah laku seseorang, maka lahirnya negara yang aman. Unsur
rohani pula menitikberatkan nilai kepercayaan kepada Tuhan dan memupuk disiplin
kendiri. Di sekolah, pendidikan agama dan pendidikan moral adalah diwajibkan
demi kesedaran pelajar tentang kepentingan mempunyai akhlak yang mulia.
No comments:
Post a Comment